Era kini manusia berlumba-lumba untuk mempelajari dan mencipta pelbagai teknologi. Teknologi yang ada sekarang semakin hari semakin canggih dan ianya memudahkan pelbagai golongan. Antara teknologi yang ada pada masa kini adalah seperti penggunaan komputer dan internet, telefon bimbit, GPS (Geographical Positioning System) dan lain-lain lagi.
Namun begitu, teknologi dan inovasi yang dilakukan hari demi hari ini mampu memberikan pelbagai kesan kepada para pelajar khasnya dan para pengguna amnya. Langkah yang efektif harus diambil bagi memastikan teknologi dan inovasi yang dilakukan tidak menjejaskan disiplin dan sahsiah pelajar serta pengguna-pengguna am. Berdasarkan pemerhatian yang dilakukan, salah satu langkah untuk mengelakkan perkara tersebut berlaku adalah ibu bapa haruslah mengawal dan memantau setiap perkara yang dilakukan oleh anak-anak mereka terutamanya dalam menggunakan pelbagai kemudahan teknologi. Seperti yang kita sedia maklum, zaman kini para pelajar telah menggunakan teknologi sebagai medium untuk mencari pelbagai sumber. Malangnya jika mereka menyalahgunakan teknologi tersebut, maka disiplin dan sahsiah mereka akan turut terjejas. Kemudahan seperti internet digunakan untuk mendapatkan pelbagai sumber. Namun jika penggunaannya adalah secara berlebihan, pelajaran mereka akan turut terjejas. Mereka juga lebih cenderung untuk berada di hadapan skrin komputer hingga sanggup mengetepikan tanggungjawab sebenar mereka.
![]() |
| mudah cepat dan pantas |
Teknologi telah didedahkan kepada semua peringkat usia tidak kira sama ada yang tua mahupun yang muda. Teknologi juga telah diaplikasi dengan pelbagai bentuk hiburan dan secara tidak langsung memudahkan sesiapa sahaja mempelajarinya. Contoh teknologi yang dapat diketengahkan adalah seperti permainan video, pemain cakera padat dan pemain audio (MP3) mampu membuat individu itu terhibur. Tetapi walau bagaimanapun, jika penggunaannya tidak dikawal ianya boleh menyebabkan kelalaian dan ketagihan. Seperti pusat permainan video, ianya lebih banyak mendatangkan keburukan berbanding kebaikan. Melalui kajian yang pernah dijalankan, pusat permainan video ini selalu dikunjungi oleh para pelajar. Mereka sanggup menghabiskan wang dan masa semata-mata untuk mencapai kepuasan diri mereka. Mereka juga sanggup mengabaikan tanggungjawab mereka di sekolah dan di rumah kerana terlalu taksub dalam meyesuaikan diri dengan arus teknologi ini. Teknologi seperti ini telah disalahgunakan oleh para pelajar. Terdapat kes di mana pelajar yang ketagihan hingga sanggup ponteng sekolah dan memasuki pusat permainan video. Oleh itu, pihak yang menganjurkan pusat permainan video ini haruslah memainkan peranan yang penting dalam mencegah gejala seperti ini. Mereka boleh menguatkuasakan peraturan bagi kedai mereka dengan menyelaraskan waktu dan had umur yang boleh dikunjungi oleh para pelajar khasnya. Dengan cara ini, penggunaan teknologi sebagai media hiburan akan lebih terkawal.
Selain daripada itu juga, guru-guru yang mengajar di sekolah juga boleh memainkan peranan mereka dengan mengajar para pelajar menggunakan teknologi tersebut dengan cara yang betul. Para pelajar perlu didedahkan dengan teknologi supaya mereka tidak ketinggalan dalam dunia cyber yang semakin meluas pada masa kini. Penggunaan teknologi seperti komputer sebenarnya dapat membantu kita dalam memudahkan pelbagai urusan. Teknologi yang ada boleh meningkatkan kualiti dan prestasi kerja setiap individu jika mereka menggunakan dengan cara yang lebih professional. Pengajaran tentang teknolgi seperti internet boleh dimulakan di sekolah. Guru-guru dapat memantau para pelajar sekiranya mereka menyalahgunakan sistem rangkaian maklumat tersebut. Dengan adanya pendedahan tentang teknologi seperti ini, para pelajar dapat menyesuaikan diri dengan dunia teknologi yang semakin meluas.
Di negara Malaysia, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi telah diberi tanggungjawab yang besar dalam menggubal dasar Negara dalam pembangunan sains dan teknologi termasuk menggubal, memantau dan menyelaraskan perlaksanaan dasar keselamatan negara mengenai teknologi maklumat dan komuniasi (ICT). Pihak ini juga perlu memberi kefahaman dan kesedaran tentang penggunaan teknologi ini. Mereka seharusnya meneliti dan mengkaji baik atau buruk tentang setiap teknologi yang didedahkan. Sekiranya terdapat kekurangan yang boleh menyebabkan pelbagai masalah, mereka haruslah menangani masalah tersebut dengan mengambil pelbagai insiatif lain. Pihak ini juga boleh mendedahkan penggunaan teknologi yang berunsurkan pendidikan kepada para penggunanya. Pada zaman ini, telefon bimbit bukan sahaja digunakan sebagai alat komunikasi tetapi ianya juga digunakan untuk mendapatkan pelbagai maklumat. Antaranya adalah aplikasi kamus, penggunaan internet melalui wiFi dan juga GPS (Geographical Positioning System). Namun begitu, jika kesemua aplikasi teknologi ini digunakan dengan sewenang-wenangnya, ianya akan menjejaskan disiplin dan sahsiah individu tersebut.
![]() |
| teknologi dihujung mata |
Kesimpulannya, setiap teknologi dan inovasi yang dilakukan sebenarnya dapat merangsang sesuatu yang lebih positif dalam hidup masyarakat hari ini. Namun jika kita tidak mengawal penggunaannya, maka pelbagai perkara negatif juga boleh berlaku. Disiplin dan sahsiah pelajar-pelajar ataupun pengguna am bukanlah terletak di hujung dunia teknologi semata-mata, tetapi ianya bergantung pada cara mereka dididik dan diasuh sehingga mereka mengenali apa itu teknologi dan apa itu inovasi. Walaupun teknologi itu seringkali diperkatakan sebagai dunia tanpa sempadan, namun penggunaan setiap teknologi itu sebenarnya memerlukan sempadan yang utuh agar tidak disalahgunakan.

